NG MERS 999 Beroperasi Lancar, Kerajaan Tubuh Jawatankuasa Pantau Sistem Kecemasan

PUTRAJAYA: Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) kini beroperasi sepenuhnya dan berjalan lancar sejak 16 November, menurut kenyataan bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pada Jumaat.

Sistem baharu itu dibangunkan bagi meningkatkan keberkesanan tindak balas kecemasan melalui rangkaian komunikasi yang lebih pantas, tepat dan moden.

Ia meliputi 837 lokasi operasi dengan kos tahunan sekitar RM113 juta.

“NG MERS 999 kekal sebagai platform kecemasan nasional dan semua agensi terus beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan itu, merujuk kepada PDRM, JBPM, APM, Maritim Malaysia dan Kementerian Kesihatan.

Aplikasi SaveME999 turut dikekalkan sebagai saluran digital tambahan dan bukan pengganti talian 999 dengan nilai langganan hanya 0.78 peratus daripada keseluruhan kos operasi.

Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan pelarasan proses kerja sementara bagi memastikan respons perubatan berada pada tahap optimum.

Pusat Panggilan Kecemasan Perubatan (MECC) pula kekal bertanggungjawab mengklasifikasi dan menyelaras panggilan kecemasan perubatan, manakala pengaktifan ambulans dilakukan mengikut proses kerja stabil yang telah diguna pakai sebelum ini.

Bagi memastikan keberkesanan sistem, sebuah Jawatankuasa Khas Bersama ditubuhkan untuk meneliti isu teknikal, penyelarasan antara agensi serta menyediakan laporan mingguan kepada Jemaah Menteri.

Setakat tengah hari Jumaat, NG MERS 999 telah menerima 323,957 panggilan sejak ia diaktifkan dengan 95 peratus diproses dalam tempoh lapan saat oleh 170 pegawai kecemasan di 1,302 stesen kerja.

Sokongan teknikal 24 jam turut disediakan di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, Kerajaan MADANI komited memastikan sistem kecemasan negara berada pada tahap kecekapan tertinggi dengan usaha penstabilan teknikal dan penambahbaikan operasi dilaksanakan secara berperingkat demi keselamatan rakyat.

Anda Mungkin Berminat