Nga Kor Ming Akui Wujud Khilaf, Sedia Jumpa Wartawan Terlibat

PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming tampil menjernihkan keadaan susulan insiden yang berlaku semasa sidang media pra-pelancaran program pencahayaan ‘I Lite U’ di Bukit Bintang baru-baru ini dengan menyatakan kesediaan untuk bertemu pihak media yang terlibat.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik di media sosial, beliau mengakui wujudnya kekhilafan dan menerima teguran dengan hati terbuka.

“Saya sedar ada teguran yang dibuat ke atas saya berkaitan insiden yang berlaku semasa sidang media pra-pelancaran ‘I Lite U’ baru-baru ini.

“Saya juga sedar kemungkinan wujudnya kekhilafan dalam perkara ini dan saya terimanya dengan hati yang terbuka,” katanya.

Nga berkata, sebagai seorang pemimpin, beliau sentiasa menghormati kebebasan media dan tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak khususnya para wartawan yang disifatkan sebagai ‘tunggak informasi Kerajaan Madani’.

“Objektif saya hanyalah untuk bersama-sama membina sebuah Malaysia masyarakat berbilang kaum yang inklusif, progresif dan sentiasa mengangkat martabat negara di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan berterusan daripada pengamal media dalam menyampaikan inisiatif KPKT kepada rakyat.

“Saya amat menghargai kehadiran serta sokongan rakan-rakan media yang sentiasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan inisiatif KPKT kepada rakyat seperti yang berlangsung selama ini,” ujarnya.

Sebagai langkah penyelesaian, Nga menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan pihak media yang terlibat dalam masa terdekat.

“Saya dengan rendah hati sudi untuk berjumpa dengan pihak media yang terlibat dalam masa terdekat supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan teratur,” katanya.

Terdahulu, Nga didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk teguran terhadap seorang wartawan Utusan Malaysia.

Insiden berlaku pada 29 Oktober 2025, semasa sidang media pra-pelancaran program ‘I Lite U’.

Anda Mungkin Berminat