NGO mohon beri warga asing ruang untuk bersosial

Lambakan pekerja asing membanjiri pusat tumpuan di ibu kota khususnya ketika musim perayaan dikatakan memberi satu gambaran negatif pada negara selain dianggap sebagai ancaman.

Hal ini kerana selain daripada mencetuskan rasa kurang senang, kehadiran warga asing juga dipercayai mampu mempengaruhi berlakunya kes jenayah dan penularan penyakit berjangkit.

Bagaimanapun, menurut organisasi bukan kerajaan (NGO), MigrantCare, Alex Ong, memberikan pandangan berbeza iaitu membiarkan warga asing tersebut meluangkan masa bertemu dengan rakan senegara, sekali gus menikmati masa cuti.

Katanya, kelonggaran itu menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bercirikan toleransi yang tinggi dan merangkumi layanan dan keramahan Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan yang dihadapi pekerja asing yang berkumpul di sekitar kawasan seperti The Golden Triangle atau Segitiga Emas, Kuala Lumpur semasa perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Menerusi video tular menggambarkan kebanjiran itu tersebar di media sosial, ada yang melabelkan perhimpunan itu sebagai Mini Dhaka kembali, mendorong Ong menekankan keperluan untuk membentuk semula naratif dan menyeru integrasi berkesan pekerja asing ke dalam masyarakat Malaysia.

“Malaysia terkenal dengan kepelbagaian budaya. Malangnya, kita jarang melihat integrasi yang betul dalam kalangan migran ke dalam masyarakat kita.

“Kehadiran mereka ke tempat pelancongan di bandar ini dialu-alukan, sekali gus dapat mencerminkan komitmen Malaysia terhadap toleransi,” katanya.

Sementara itu, aktivis hak asasi manusia Adrian Pereira, menyatakan pekerja asing yang berkhidmat selama berjam-jam dalam pekerjaan mereka, wajar untuk diberikan masa cuti tahunan singkat.

Sementara itu, Adrian Pereira turut menekankan peranan Kuala Lumpur sebagai titik penumpuan, bukan sahaja Lembah Klang tetapi seluruh Malaysia, adalah wajar memberikan pekerja asing peluang untuk berehat dan bersosial.

“Jangan lupa mereka berada di sini sendiri tanpa keluarga. Teman mereka hanyalah kawan mereka. Ramai yang sudah bertahun-tahun tidak pulang ke rumah, jadi kita harus beri ruang untuk beramah mesra.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan apabila kita melihat mereka beramai-ramai, sebaliknya biarkan mereka berseronok kerana mereka tidak memudaratkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat