Nick Adams Tidak Layak, Pemuda PH Serah Memorandum Bantahan

KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Harapan (PH), hari ini, menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS), menolak pencalonan aktivis konservatif Nick Adams sebagai Duta Besar ke Malaysia.

Himpunan aman itu berlangsung di hadapan kedutaan dan diketuai oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammad Izuan Mohd Kasim yang menyampaikan mesej tegas kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Hari ini kita semua berkumpul atas satu tujuan yang jelas iaitu menolak pencalonan Nick Adams sebagai Duta ke Malaysia.

“Beliau (Nick Adams) bukan individu yang sesuai untuk mewakili negaranya di sini,” kata Izuan dalam ucapannya.

Turut hadir memberi sokongan ialah wakil-wakil Pemuda Parti Amanah Nasional (AMANAH), DAPSY, IKRAM Muda, Liga Pemuda Malaysia, Young Diplomats of Malaysia serta beberapa pertubuhan masyarakat sivil lain.

Izuan berkata, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang menjunjung tinggi nilai keamanan, kesederhanaan dan kemanusiaan sejagat.

“Malaysia mempunyai rakyat yang beradab, menghormati wanita serta menjunjung tinggi nilai toleransi antara agama dan kaum.

“Nick Adams bukan cerminan kepada nilai-nilai ini,” ujarnya.

Beliau turut mendakwa bahawa Nick Adams mempunyai sejarah menyokong Zionisme dan pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina nilai kemanusiaan.

“Kami tidak mahu individu yang menyokong Zionis dihantar ke negara ini.

“Malaysia telah lama menyatakan solidariti kepada Palestin, dan kita konsisten dalam hal ini,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda PH menggesa kerajaan AS agar mempertimbangkan calon lain yang lebih sesuai dan mampu mewakili hubungan diplomatik secara lebih berhemah.

“Kita mahukan calon yang sederhana, berfikiran terbuka dan menghormati prinsip sejagat.

“Hantar Nick Adams ke tempat lain, bukan ke sini,” tegas beliau.

Anda Mungkin Berminat