NIISe Diperluas ke Semua Pintu Masuk Negara Mulai 31 Mac

PUTRAJAYA: Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) akan diperluaskan ke semua pintu masuk negara melibatkan laluan udara, darat dan laut secara berperingkat bermula 31 Mac ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata pelaksanaan itu bertujuan memperkukuh keselamatan sempadan melalui sistem imigresen digital yang lebih cekap dan mesra pengguna.

“Pelaksanaan ini akan dimulakan secara rintis di lokasi terpilih seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 31 Mac 2026, Kompleks ICQS Bukit Bunga pada 31 Mei 2026, dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour pada 30 Jun 2026,” katanya dalam kenyataan hari pada Jumaat.

Menurut KDN, pelaksanaan berperingkat itu dibuat susulan kejayaan fasa percubaan NIISe dari September 2025 hingga Februari lalu.

“Sepanjang tempoh percubaan, pelbagai inisiatif strategik telah dilaksanakan termasuk pembangunan aplikasi mudah alih MyNIISe dan pemasangan kemudahan eGate di lapangan terbang antarabangsa utama,” katanya.

KDN turut memaklumkan aplikasi MyNIISe mencatat lebih 1.78 juta muat turun setakat 17 Mac.

“Daripada jumlah itu, seramai 897,673 pengguna telah berdaftar, termasuk 616,730 warganegara Malaysia dan 246,946 warganegara Singapura,” katanya.

Selain itu, penggunaan sistem kod QR di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) turut merekodkan jutaan transaksi.

“Ia membuktikan keupayaan sistem dalam menguruskan aliran pengembara secara pantas dan efisien,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi MyNIISe lebih awal.

“Langkah ini bagi memastikan kelancaran urusan imigresen apabila pelaksanaan penuh dimulakan secara berperingkat kelak,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat