Oleh: Farah Faizal
KUALA LUMPUR: Kabinet memutuskan ahli kabinet tidak boleh bertanding sebarang jawatan dalam persatuan sukan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Susulan itu, beliau mengumumkan penarikan dirinya daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
“Saya akan terus komited menyokong KLFA membangunkan ekosistem bola sepak yang sihat dan menyokong kejayaan KL City FC sebagai pasukan bola sepak profesional,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasratnya untuk terus menaungi kelab bola sepak Setiawangsa Rangers yang merupakan antara kelab gabungan KLFA yang diasaskan olehnya sejak 2018.
Terdahulu, Ahli Parlimen Setiawangsa itu mendedahkan kesediannya untuk menjawat jawatan tersebut dan memasang aspirasi mengubah nasib bola sepak Kuala Lumpur menjadi lebih baik.
Difahamkan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan sebagai Presiden KLFA pada 7 September ini.
Namun, Fahmi juga mengumumkan bahawa beliau menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) susulan keputusan Jemaah Menteri untuk tidak membenarkan menteri atau timbalan menteri bertanding atau memegang jawatan presiden mana-mana persatuan sukan.