PETALING JAYA: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri.
Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa pada 4 Julai 2025. Bermula dari hari ini, beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan hingga 3 Julai 2025.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri.
“Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa.
“Mengungkapkan semula kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn: “Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam,” tulisnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pengumuman Nik Nazmi menyusul beberapa jam selepas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli turut mengumumkan pengunduran dirinya daripada Kabinet berkuat kuasa pada 17 Jun depan.
Nik Nazmi berkata, beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan reformasi sepanjang dilantik ke dalam Jemaah Menteri dalam dua kementerian iaitu Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022-Disember 2023) dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023-Julai 2025).
“Kejayaan dua kementerian ini termasuklah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] – Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi.
“Pengurangan kadar penyahutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres,” ujarnya.
Tambahnya, beberapa minggu selepas dilantik, Kementerian berjaya melaksanakan penyasaran subsidi elektrik melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga, serta memperkenalkan mekanisme penetapan tarif air.
Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara juga kini di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Kabinet dan Parlimen.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.
“Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang,” katanya lagi.