Nik Nazmi umum pertahan Naib Presiden PKR

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan bahawa beliau akan bertanding untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua Cabang Setiawangsa pada pemilihan parti yang akan datang.

Pengumuman itu dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Setiawangsa yang diadakan, semalam.

Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, pemilihan PKR tahun ini bakal menjadi tumpuan ramai, bukan sahaja dalam kalangan anggota parti tetapi juga rakyat yang menilai kesatuan dan kekuatan parti tersebut.

“Persaingan dalam pemilihan ini perlu berlangsung dengan penuh adab, semangat setia kawan dan fokus kepada agenda besar untuk mengukuhkan KEADILAN (PKR) sebagai sebuah parti masa depan yang relevan dalam perjuangan rakyat,” katanya menerusi video di TikTok miliknya.

Katanya, sokongan penuh PKR Cabang Setiawangsa terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal sebagai Presiden parti dan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden.

Nik Nazmi percaya bahawa PKR bukan sekadar parti politik tetapi juga gerakan yang membawa harapan dan perubahan.

PKR sebelum ini menetapkan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) pada 24 Mei ini.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dilaporkan berkata, pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.

Anda Mungkin Berminat