KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah dengan melahirkan rasa kecewa apabila sebanyak 14,494.9 hektar tanah kerajaan diceroboh di negeri itu.
Untuk itu, baginda mahu kemelut pencerobohan tanah secara haram di negeri ini dinoktahi.
Titah baginda ini dizahirkan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.
Pada awalnya tanah-tanah ini diceroboh atas nama pertanian, tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta kerajaan negeri.
Malah tanah-tanah ini diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
Baginda bertitah seluas 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) juga telah diceroboh.
Malah, titah baginda masalah ini bukan baru bermula semalam, ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lepas, ia berlaku tanpa pengetahuan beta namun bukan niat beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan.
“Kita tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam. Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahi kemelut pencerobohan tanah secara haram ini. Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran.
“Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pengkhianatan terhadap amanah, biarlah Allah SWT yang Maha Adil menentukan dan menjatuhkan hukumnya,” titah baginda Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Al-Sultan Abdullah bertitah seiring dengan keputusan kerajaan negeri, baginda menegaskan tidak akan ada sebarang kelulusan baharu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.
Titah baginda ia adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah kepada negeri dan rakyat.
Baca juga:








