Noor Ainun Wanita Malaysia Pertama Tamat Nozomi Coast To Coast 444KM

PETALING JAYA: Sejarah tercipta apabila Noor Ainun Yeop Kamaruddin menjadi pelari wanita Malaysia pertama menamatkan Nozomi Coast to Coast Ultramarathon, satu cabaran ketahanan ekstrem sejauh 444 kilometer dari Lumut, Perak ke Bachok, Kelantan.

Dengan catatan masa 114 jam, 18 minit dan 14 saat, beliau mengukir namanya sebagai lambang keberanian dan daya tahan luar biasa.

Ultramaraton ini, yang berlangsung hampir lima hari, menuntut ketahanan fizikal dan mental yang amat tinggi.

Para peserta terpaksa menempuh pelbagai bentuk muka bumi serta cuaca yang tidak menentu dan menjadikan larian ini antara yang paling mencabar di Asia Tenggara.

Menurut Malaysia Book Of Records (MBOR), kejayaan Noor Ainun adalah kolektif seluruh rakyat Malaysia.

“Pencapaian ini bukan milik beliau ( Noor Ainun) seorang. Ia milik seluruh rakyat Malaysia yang percaya kepada impian besar dan kekuatan jiwa,” katanya.

Sebagai wanita, Ainun membuka lembaran baharu dalam dunia sukan lasak yang sering didominasi lelaki.

Beliau menjadi sumber inspirasi kepada wanita Malaysia untuk berani mencabar sempadan kemampuan diri dan memperkukuh kehadiran dalam arena ketahanan fizikal.

Kejayaannya kali ini menambah satu lagi detik penting dalam sejarah sukan negara.

Komuniti pelari dan rakyat Malaysia menzahirkan rasa bangga atas semangat, ketekunan dan dedikasi yang ditunjukkannya.

Lebih daripada sekadar larian, pencapaian Noor Ainun membuktikan bahawa tiada jarak terlalu jauh bagi mereka yang berani bermula.

Anda Mungkin Berminat