Novel ‘Hari-hari terakhir di Jesselton’ raih Anugerah Booker Antarabangsa

PETALING JAYA: Penulis Ruhaini Matdarin dan penterjemah Pauline Fan melakar sejarah apabila karya ‘Hari-Hari Terakhir di Jesselton’ diumum sebagai pemenang ‘Pen Presents X International Booker Prize 2025’.

Karya itu yang digarap dalam genre neo-sastera mengangkat keindahan bahasa dan sejarah tempatan, sekali gus menempatkan sastera Malaysia di pentas dunia.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Ruhaini dan Pauline atas kecemerlangan ini. Kejayaan mereka mengiktiraf bakat penulis, penterjemah dan karya tempatan di peringkat antarabangsa,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan.

Beliau berkata novel berkenaan sebelum ini turut meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia, sekali gus membuktikan kualitinya diiktiraf dalam dan luar negara.

Anugerah tersebut bukan sahaja mengangkat nama pengkarya tempatan, malah menjadi pendorong kepada generasi penulis baharu untuk menghasilkan karya sastera berkualiti tinggi.

“Kejayaan ini harus menjadi inspirasi kepada semua penggiat sastera bahawa karya berbahasa kebangsaan mampu mendapat tempat di peringkat global.” tambah Fadhlina.

Penganjuran ‘Pen Presents X International Booker Prize’ dianggap antara pengiktirafan paling berprestij dalam dunia penerbitan, memberi tumpuan kepada karya asli serta terjemahan yang mencorakkan landskap sastera antarabangsa.

Ruhaini Matdarin dikenali sebagai antara penulis prolifik Sabah dengan karya yang banyak menyorot sejarah dan identiti masyarakat setempat. Pauline Fan pula merupakan penterjemah dan penggiat budaya yang aktif memperjuangkan sastera Malaysia ke peringkat global.

Anda Mungkin Berminat