NRES nafi dakwaan Sanusi berhubung aktiviti eksport lanthanide

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menafikan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa terdapat pihak mengisytiharkan unsur nadir bumi (REE) sebagai lanthanide dan mengeksportnya secara haram.

NRES dalam satu kenyataan menegaskan bahawa lanthanide adalah sebahagian daripada kategori REE dan menurut rekod mereka, tiada syarikat di Kedah yang menerima kelulusan menggunakan istilah tersebut.

NRES turut memperjelas bahawa eksplorasi REE berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, termasuk Kedah, di mana aktiviti tersebut dikawal melalui Seksyen 41, Enakmen Mineral Kedah 2004.

“Kementerian sebelum ini telah menyediakan SOP Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) dan mengedarkannya kepada Kerajaan Negeri pada 20 Disember tahun lalu,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Bagaimanapun, NRES memaklumkan bahawa pemakaian SOP berkenaan masih dalam pertimbangan kerajaan negeri Kedah.

Kementerian menegaskan bahawa tiada kelulusan lain yang diberikan untuk pengeksportan REE seperti didakwa.

Bagi menangani isu perlombongan haram, NRES melaporkan bahawa pemantauan bersepadu dijalankan di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah bersama beberapa agensi seperti Jabatan Perhutanan dan Polis Diraja Malaysia.

Pemeriksaan berkala juga dilakukan di kawasan berpotensi REE dan pelabuhan bagi memastikan tiada aktiviti penyeludupan.

NRES turut menegaskan bahawa prosedur sedia ada berkaitan pengeksportan REE adalah mencukupi dan tiada keperluan untuk pembangunan SOP baharu.

“Kementerian tidak berhasrat membangunkan SOP khusus kerana prosedur yang ada memadai,” jelas kenyataan itu lagi.

Anda Mungkin Berminat