PETALING JAYA: Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang dilancarkan setahun lalu kini menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan Kerajaan MADANI terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan industri berteknologi tinggi tempatan.
Mesyuarat ketiga Majlis Pelaburan Negara (MPN) bagi tahun 2025 yang berlangsung hari ini memperincikan kejayaan awal NSS termasuk pelaksanaan program bantuan fiskal dan sokongan dasar yang menyeluruh.
“Pelbagai langkah telah dipersetujui dalam mesyuarat hari ini, menzahirkan kesungguhan kerajaan dalam memacu pertumbuhan industri semikonduktor tempatan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran.
NSS merupakan tonggak utama dalam usaha Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai hab semikonduktor global, dengan tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan lanjutan dan pembangunan bakat tempatan.
Bersempena ulang tahun pertama NSS, Anwar dijadual menyampaikan Ucapan Dasar di Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025 esok (Khamis) yang bakal menjadi pentas penting untuk pengumuman hala tuju baharu industri.
“Kerajaan perlu merangka dasar yang bukan sahaja menarik pelaburan asing tetapi juga menjamin manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
ASEMIS 2025 yang berlangsung di One World Hotel, Petaling Jaya, menghimpunkan lebih 500 pemimpin industri, pembuat dasar dan pakar ekonomi dari seluruh rantau ASEAN.
Antara fokus utama ialah rantaian bekalan serantau, pembangunan bakat STEM dan kerjasama awam-swasta.
NSS turut menyasarkan pelaburan RM500 bilion, penubuhan 110 syarikat semikonduktor bernilai tinggi dan latihan 60,000 jurutera mahir menjelang 2030 selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.








