KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menyuarakan bantahan keras terhadap pelantikan seorang warga India sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia (CHRO) Kumpulan CIMB, dengan menyifatkannya sebagai langkah yang bercanggah dengan kepentingan negara.
Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, tindakan melantik ekspatriat ke jawatan strategik itu bertentangan dengan komitmen kerajaan untuk memperkasa bakat tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Pelantikan ini langsung tidak masuk akal. Ia bukan sahaja menafikan peluang rakyat Malaysia, malah menjejaskan usaha negara membina keupayaan tempatan dalam sektor strategik,” katanya seperti dilaporkan akhbar Oriental Daily dan See Hua News.
Menurut Solomon, jawatan tertinggi dalam bidang sumber manusia berperanan penting dalam membentuk budaya kerja dan pembangunan bakat jangka panjang.
Beliau turut mempersoalkan rasional melantik individu luar yang hanya berada dalam negara untuk tempoh jangka pendek, tetapi menelan kos tinggi dari segi pemindahan, kediaman dan pendidikan anak-anak.
“Ekspatriat tidak mempunyai kesetiaan jangka panjang. Kos melantiknya pula lebih baik digunakan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran bakat tempatan,” katanya.
NUBE sebelum ini lantang menentang dasar yang dianggap tidak berpihak kepada pekerja tempatan, dan gesaan terbaru ini sekali lagi mencerminkan keperluan untuk memastikan institusi kewangan negara mendukung dasar pembangunan tenaga kerja nasional.
Baca juga: