PETALING JAYA: Penyanyi dan bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam, Nubhan Ahmad, mengesahkan bahawa beliau dan isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, telah berpisah secara baik selepas bertahun-tahun mendirikan rumah tangga.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, Nubhan menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat dengan penuh pertimbangan dan rasa tanggungjawab oleh kedua-dua pihak.
“Kami berdua telah berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankan perkahwinan ini, namun jodoh kami setakat ini sahaja,” katanya.
Meskipun hubungan suami isteri mereka telah berakhir, Nubhan tetap menzahirkan rasa hormat dan penghargaan terhadap bekas isterinya, sambil mendoakan agar wanita itu terus dilimpahi rahmat dan kebaikan.
“Beliau (Afifah) tetap seorang insan yang saya hormati dan doakan sentiasa dirahmati Allah,” ujarnya.
Penyanyi lagu popular Ada Untukmu itu turut memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian yang tidak berasas mengenai punca perpisahan mereka, demi menjaga maruah dan kesejahteraan keluarga.
“Ini adalah perkara peribadi dan saya berharap ia dapat dihormati demi menjaga maruah serta privasi kedua-dua belah pihak dan anak-anak kami,” katanya lagi.
Nubhan turut merakamkan ucapan terima kasih atas doa dan sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak dan berharap agar beliau serta keluarganya diberi ruang dan ketenangan untuk menempuh fasa baharu dalam kehidupan.








