Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Pengusaha restoran Nur Malaysia di Jordan nafi terlibat dalam sebarang dakwaan dan siasatan berkaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) ketika ini.
Ia susulan, pihaknya menyedari hal berkenaan menyebabkan berlakunya kegusaran dalam kalangan pelanggan mereka.
“Pihak Nur Malaysia juga ingin menjelaskan bahawa kedudukan Nur Malaysia di Jordan merupakan sebuah Syarikat Sendirian Berhad yang didaftarkan di Jordan di bawah Kementerian Industri dan Perdagangan Jordan di atas nama Nur Malaysia Rest Co Ltd dengan nombor pendaftaran: 200163867.
“GISBH hanya berperanan sebagai pembimbing dan perunding perniagaan kepada Nur Malaysia sahaja,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut kenyataan itu lagi, pengurusan Nur Malaysia di Jordan adalah 100 peratus di bawah pentadbiran Syarikat Nur Malaysia Rest Co Ltd bersama rakan kongsi di Jordan.
Katanya, ia juga membuka ruang kepada sesiapa yang ingin mengajukan sebarang soalan atau mengadakan mesyuarat bersama untuk menjelaskan sebarang hal berbangkit.
“Ia lebih baik daripada berlakunya salah tanggapan lebih-lebih lagi sebagai satu komuniti rakyat Malaysia yang tinggal di Jordan adalah digalakkan untuk menjaga hubungan silaturrahim walaupun berbeza pandangan dan latar belakang,” katanya.