PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari agar Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjadi penggantinya sebagai Menteri Besar hanyalah pandangan peribadi Amirudin.
“Ini pandangan dia. Dia tidak bincang dengan saya,” kata Anwar memetik laporan media tempatan.
Cadangan tersebut timbul selepas Amirudin dalam program audio siar Keluar Sekejap baru-baru ini menyatakan bahawa idea itu telah dibincangkan dengan Nurul Izzah, namun terpulang kepadanya sama ada mahu menerima atau menolaknya.
“Saya boleh katakan itu mungkin satu formula yang baik supaya tidak ada persepsi atau stigma berkenaan nepotisme.
“Terpulang kepada beliau (Izzah) untuk ambil cadangan itu atau tidak,” kata Amirudin.
Beliau menyatakan pandangan itu ketika menjawab soalan mengenai kemungkinan Nurul Izzah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya akan datang, sekali gus dilantik sebagai Menteri Besar.
Dalam masa sama, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak mengakui beliau bersedia menggalas tanggungjawab di peringkat Persekutuan.
“Kalau tanya saya adakah sudah bersedia? Ya, saya sudah mempertimbangkan untuk ke Persekutuan,” katanya.








