Nurul Izzah Gesa Singapura Segera Iktiraf Palestin

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, menggesa Singapura agar segera mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan menghentikan sikap ‘neutral’ yang disifatkan sebagai tidak berprinsip dalam menghadapi penindasan terhadap rakyat Palestin.

Beliau menyifatkan pendekatan bersyarat Singapura sebagai satu kegagalan moral, apabila negara itu meletakkan tuntutan ke atas Palestin sebelum memberikan pengiktirafan kenegaraan.

“Sedangkan hak (Palestin) untuk menjadi sebuah negara adalah hak asasi mereka yang mutlak serta tidak boleh ditawar menawar,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Nurul Izzah turut membidas pendekatan Singapura yang digambarkan sebagai berhati-hati dan berprinsip, namun menurutnya, ia seolah-olah menuntut Palestin untuk terus hidup di bawah era pengeboman, kepungan dan kebuluran sebelum layak memiliki negara sendiri.

Beliau berkata, rakyat Palestin telah lama menunjukkan komitmen terhadap keamanan melalui pelbagai inisiatif termasuk Perjanjian Oslo dan Inisiatif Keamanan Arab.

“Menetapkan semula syarat pada ketika ini hanyalah membebaskan penjajah daripada tanggungjawab dan terus menghukum mangsa,” ujarnya.

Nurul Izzah turut menyeru Singapura agar tidak lagi berselindung di sebalik sikap neutral dan sebaliknya mengambil pendirian tegas terhadap penindasan oleh rejim Israel.

“Kini Singapura berada di persimpangan.

“Sebagaimana dunia pernah bersatu menentang ancaman Nazisme, kini ia juga mesti bersatu demi keadilan.

“Kami menggesa Singapura untuk berada di sisi sejarah yang benar dengan segera mengiktiraf negara Palestin yang berdaulat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembebasan Palestin mesti disusuli dengan tindakan konkrit termasuk penamatan genosid, pengangkatan sekatan untuk laluan kemanusiaan dan penegakan hak pulang pelarian Palestin.

Terdahulu, Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, menyatakan di Parlimen bahawa Singapura menyokong penyelesaian dua negara melalui rundingan dan hanya akan mengiktiraf Palestin apabila ia mempunyai kerajaan berkesan yang menerima kewujudan Israel serta menolak keganasan secara mutlak.

Anda Mungkin Berminat