KUALA LUMPUR: Parlimen perlu memainkan peranan lebih tegas dalam memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan integriti institusi itu terus terpelihara dan keyakinan rakyat terhadap usaha memerangi rasuah kekal terjamin.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, kekuatan sesebuah demokrasi bukan sahaja diukur melalui undang-undang yang digubal, tetapi juga melalui integriti pelaksanaannya serta kredibiliti institusi yang diamanahkan untuk menjunjungnya.
“Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan kekal sebagai tonggak utama bagi memastikan kejayaan pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan.
“Melakukan perkara yang betul sahaja tidak mencukupi, kerajaan juga mesti dilihat dan diyakini rakyat sebagai melakukan perkara yang betul,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Nurul Izzah berkata, kuasa yang diperuntukkan kepada SPRM sepatutnya menjadi senjata memerangi rasuah, tetapi dalam sesetengah keadaan ia menimbulkan persepsi bahawa individu tertentu diperlakukan seolah-olah bersalah hanya kerana terlibat dalam persaingan politik atau berani bersuara.
Beliau menambah, penguatkuasaan yang dilihat berlebihan, tidak telus atau bersifat intimidasi boleh melemahkan prinsip demokrasi.
“Mungkin ada asas sah untuk siasatan, termasuk berkaitan perjanjian bernilai RM1.1 bilion antara kerajaan dan ARM Holdings serta usaha menjejak dana yang diperoleh secara tidak sah bagi memulihkan tabung negara.
Namun, cara pengendalian sesetengah siasatan yang keras, termasuk pendedahan alamat kediaman peribadi kepada umum, perlu mematuhi tahap kebertanggungjawaban lebih tinggi,” katanya.
Beliau menekankan pendekatan penguatkuasaan perlu mencerminkan keseimbangan, perkadaran, penghormatan terhadap privasi dan tanggungjawab institusi.
Nurul Izzah turut menyentuh dakwaan kewujudan “mafia korporat” dan persoalan pegangan saham peribadi pesuruhjaya SPRM serta potensi konflik kepentingan yang memerlukan jawapan telus.
Dakwaan yang tidak dijawab boleh menjejaskan kredibiliti institusi dan usaha nasional membanteras rasuah.
Sehubungan itu, beliau menegaskan mekanisme semak imbang lebih kukuh perlu diwujudkan, termasuk mempertingkat pengawasan Parlimen terhadap SPRM.
Laporan berkala membolehkan wakil rakyat menilai kerja suruhanjaya, manakala badan khusus seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) boleh meneliti dasar, prosedur dan keputusan penguatkuasaan.
“Pengawasan ini tidak mengganggu siasatan, sebaliknya memastikan undang-undang yang mentadbir SPRM berkembang selaras dengan ketelusan dan keyakinan awam.
“Kebertanggungjawaban harus bersifat menyeluruh atau ia langsung tidak bermakna,” katanya.
Nurul Izzah menegaskan pengawasan Parlimen bukan serangan terhadap usaha membanteras rasuah, sebaliknya melengkapkan usaha itu bagi memastikan SPRM bertindak adil, telus dan bertanggungjawab.








