Nurul Izzah Konsisten Perjuang Nasib Komuniti India, Meski Tanpa Jawatan – AMK

PETALING JAYA: Walaupun tidak lagi bergelar Ahli Parlimen atau memegang jawatan rasmi dalam kerajaan, Nurul Izzah Anwar terus komited menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, khususnya komuniti India, dalam usaha memahami isu sosioekonomi mereka serta merangka penyelesaian yang menyeluruh dan mampan.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya di Lembah Pantai dan Permatang Pauh, beliau menunjukkan kesungguhan yang konsisten terhadap isu-isu pendidikan, peluang ekonomi, kebajikan keluarga B40 dan pembangunan komuniti India secara holistik.

Kini tanpa kedudukan dalam pentadbiran, Nurul Izzah tetap berperanan di balik tabir dengan menyumbang idea, dasar dan strategi ke arah pembangunan inklusif yang tidak mengenepikan mana-mana kaum.

Masyarakat India masih berdepan cabaran struktural yang berpunca daripada kelemahan dasar lalu.

Justeru, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dilihat sebagai wadah penting untuk pembetulan melalui fokus terhadap pendidikan, ekonomi, kesihatan dan penglibatan komuniti secara aktif.

Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat, Pravin Murali, pendekatan yang dibawa Nurul Izzah melambangkan politik baharu yang berasaskan nilai dan keikhlasan.

“Politik masa kini tidak lagi boleh bergantung kepada retorik semata-mata.

“Ia menuntut tindakan berasaskan data serta keupayaan untuk menyatukan semua pihak ke arah penyelesaian bersama bagi pemerkasaan masyarakat India,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Nurul Izzah turut dikenali sebagai pemimpin yang konsisten dalam menggerakkan libat urus merentas kaum dan agama.

Tambahnya, Nurul Izzah dilihat mendekati anak muda di perumahan kos rendah serta pengusaha kecil India yang memerlukan akses kepada peluang ekonomi dan bantuan mikro.

Pravin berkata, perjuangan Nurul Izzah bersama komuniti India telah berakar sejak awal penglibatannya dalam politik.

Walaupun kini tanpa jawatan rasmi, katanya, suara dan usaha Nurul Izzah terus bergema demi masa depan yang lebih adil dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia.

Anda Mungkin Berminat