PETALING JAYA: Pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali ketiga disifatkan keputusan yang ‘tidak dialu-alukan’, kata calon timbalan presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Beliau berkata hal ini membuatkan sukar untuk melakukan perubahan di peringkat dasar.
“Pemanjangan kontrak sebegini menyukarkan perubahan mendasar berlaku.
“Kita memerlukan keberanian penjawat awam, pimpinan serta anggota parti dan lainnya untuk memastikan kita punyai kekuatan iltizam untuk membuat pilihan baru,” katanya dalam catatan di X pada Sabtu.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan semula Azam bagi memegang jawatan tertinggi dalam SPRM.
Ia bagi tempoh setahun berkuat kuasa 13 Mei ini.
“Sukacita dimaklumkan bahawa selaras dengan Subsekyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026,” katanya semalam.
Azam menerajui SPRM dengan terpalit kontroversi. Antara kritikan semasa terhadapnya ialah persepsi bahawa suruhanjaya itu perlahan dalam menyiasat skandal rasuah Sabah yang didakwa melibatkan beberapa Adun dan pemimpin kerajaan negeri.
Baca juga: