Nurul Izzah lambang perjuangan generasi baharu dalam PKR, juga reformis – Penganalisis

PETALING JAYA: Kemelut pemilihan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin hangat apabila sentimen ‘Nepotisme’ kerap ditujukan kepada Nurul Izzah Anwar sehingga menjadi sebuah perdebatan.

Penganalisis Politik, Mujibu Abd Muis berpandangan tanggapan yang mengaitkan pencalonan beliau bersama unsur ‘Nepotisme’ adalah tidak adil dan kurang tepat sama sekali.

“Ramai yang tidak menyedari bahawa Nurul Izzah merupakan seorang tokoh yang naik daripada akar umbi yang mana ia telah memberi banyak jasa kepada parti,” katanya.

Bercakap kepada Malaysia Bangkit, beliau menyifatkan Nurul Izzah diiktiraf berdasarkan merit, pengalaman dan kebolehan kepada parti sejak beliau bertapak dari peringkat akar umbi PKR lagi.

“Ramai tidak menyedari bahawa Nurul Izzah adalah tokoh yang naik melalui saluran akar umbi dalam parti.

“Beliau sudah lama berkhidmat, meniti dari satu tangga ke tangga lain dalam hierarki parti, dan pencapaiannya adalah berdasarkan kebolehan serta komitmen peribadi, bukan semata-mata kerana beliau anak kepada presiden parti,” katanya.

Menurutnya, persepsi bahawa Nurul Izzah mendapat kelebihan kerana status beliau sebagai anak sulung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sesuatu yang wujud di luar parti, yang mana ia tidak mencerminkan realiti sebenar pandangan dalam kalangan ahli dan perwakilan terhadap Izzah.

“Ahli parti, terutamanya yang lama bersama PKR, tahu sumbangan dan perjuangan Nurul Izzah sejak awal. Beliau pernah ditahan, berdiri di barisan hadapan dalam isu-isu rakyat dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh struktur parti.

“Maka, untuk mendakwa pencalonan beliau sebagai nepotisme adalah tidak tepat,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, pandangan oleh pihak umum yang kuat mengaitkan Nurul Izzah bersama “Nepotisme’ tidak menjejaskan undi oleh para perwakilan PKR.

Ini kerana katanya, majoriti perwakilan dan ahli parti begitu kenal dan hadami kisah perjalanan Nurul Izzah yang sejak awal meniti tangga hierarki parti daripada bawah akar umbi, maka itu tidak menjadi satu masalah.

“Kalau orang dalam parti memang lihat dan kenal Nurul Izzah atas kapasiti itu.

“Sebab yang lama bersama parti tahu bahawa beliau berada dalam parti sudah sejak awal dengan meniti tangga hierarki parti daripada bawah iaitu akar umbi jadi itu tidak menimbulkan masalah,” ujarnya.

Kata Mujibu lagi, persepsi negatif dari luar parti tidak semestinya mencerminkan realiti politik dalaman.

Namun, ia tetap boleh memberi kesan terhadap imej parti secara keseluruhan, terutamanya ketika mana PKR perlu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.

“Nurul Izzah bukan sekadar nama atau legasi. Beliau adalah lambang perjuangan generasi baharu dalam PKR, wanita, reformis, berprinsip dan terbukti berani berdiri atas kaki sendiri.

“Tuduhan nepotisme hanya menafikan segala pencapaian itu secara tidak adil,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat