Nurul Izzah Mahu Perkukuh Gabungan Hadapi PRU16

Oleh: Aliyaa Azmi

SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memohon diberi peluang untuk memegang jawatan Timbalan Presiden parti, bagi memperkukuh kekuatan gabungan Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, antara fokus utamanya adalah menjalin hubungan lebih erat dengan rakan komponen serta memperkasa peranan wanita dan anak muda dalam parti.

“Berilah saya peluang, saya nak pastikan kita tanam rasa cinta sesama kita, walau berbeza kaum dan agama, kita kena buang ego, dendam dan geram untuk terus hidup segar bugar dalam parti sampai 100 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Rapat Akar Umbi bersama Nurul Izzah di Dewan Raja Muda Musa, di sini malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang turut bertanding jawatan Naib Presiden, serta Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.

Nurul Izzah berkata, kempen pemilihannya kali ini memberi keutamaan kepada penganjuran program berimpak tinggi yang memfokus kepada perwakilan wanita dan belia.

Katanya, beliau juga mahu mengurangkan ketegangan dalam kalangan ahli, selain menggerakkan agenda parti secara inklusif.

Pemilihan PKR bagi sesi 2025-2028 dijadual berlangsung pada 23 Mei ini, dengan jawatan Timbalan Presiden menjadi tumpuan utama.

Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga penyandang jawatan itu akan berdepan saingan satu lawan satu dengan Nurul Izzah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat