Nurul Izzah Mulakan Kempen Timbalan Presiden PKR di Perak

IPOH: Calon jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memulakan kempen bagi pemilihan parti bagi tempoh 2025 – 2028 dengan bertemu akar umbi PKR di Perak.

Dalam program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah yang berlangsung malam tadi, lebih 1,000 anggota PKR termasuk wakil sayap wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta pemimpin cabang negeri hadir untuk menyatakan sokongan mereka.

Nurul Izzah yang kini merupakan Naib Presiden PKR dalam ucapannya berkata, keputusannya untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden adalah kerana beliau ingin memperkukuhkan kesatuan dalam parti melalui kekuatan dan peranan wanita.

“Semua orang tahu bahawa kita (wanita) sering memainkan peranan sokongan.

“Jarang sekali kita diberi peranan utama (heroin). Tetapi kali ini, saya telah membuat keputusan, ini adalah parti saya dan saya amat peduli terhadap perjuangan ini,” katanya dengan penuh semangat.

Sementara itu, proses penamaan calon bagi pemilihan parti telah berakhir dan menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal tanpa cabaran bagi jawatan Presiden.

Manakala jawatan Timbalan Presiden akan menjadi persaingan satu lawan satu antara Nurul Izzah dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli yang merupakan penyandang jawatan tersebut.

Anda Mungkin Berminat