Oleh: Aliyaa Azmi
SHAH ALAM: Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan Nurul Izzah Anwar sebagai pemimpin berprinsip yang konsisten dengan perjuangan reformasi parti sejak awal penubuhan.
Beliau yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menyatakan bahawa Nurul Izzah bukan datang dari “dulang emas”, sebaliknya muncul sebagai tokoh melalui pengalaman menyaksikan sendiri kezaliman yang berlaku ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, hingga beliau turut bersama-sama dalam proses awal pembentukan PKR.
“Beliau pernah menjadi Naib Presiden, dan menang atas merit sendiri, bukan kerana nama. Pernah juga menggalas tanggungjawab dalam pelbagai jawatankuasa penting, sama ada melibatkan parti mahupun kerajaan,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Tambahnya, Nurul Izzah tidak pernah lari daripada perjuangan walaupun tidak lagi aktif di hadapan, dan itulah nilai kepimpinan yang diperlukan dalam parti hari ini.
“Beliau tidak pernah terpalit kontroversi, tidak pernah ada isu dengan anggota, dan tidak pernah mengecilkan pihak lawan. Itu cara peribadi beliau di mana-mana pun,” ujar Saifudin.
Nurul Izzah sendiri disifatkan sebagai seorang pemimpin yang mampu mengimbangi idealisme dengan realiti pentadbiran, sesuatu yang sangat diperlukan PKR dalam suasana politik yang mencabar hari ini.
Katanya lagi, PKR memerlukan pemimpin berintegriti yang mampu menyatukan semua pihak di bawah satu payung pembangunan untuk masa depan parti.
Baca juga: