PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap isu keselamatan kanak-kanak di negara ini.
Hal ini susulan perkembangan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap dua kes berprofil tinggi membabitkan jenayah terhadap kanak-kanak.
Menurut beliau, Bukit Aman kini sedang menyiasat kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir serta insiden serangan terhadap anak kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
“Kedua-dua kes ini jelas membuktikan bahawa keselamatan anak-anak bukan lagi isu pinggiran, tetapi perkara mendesak yang mesti diberi perhatian serius,” katanya di laman Facebook hari ini.
Beliau turut menekankan peranan penting Unit D11 di bawah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, yang bertanggungjawab menyiasat kes-kes jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak di seluruh negara.
Jelas Nurul Izzah, unit khas itu beroperasi dalam keadaan serba kekurangan, meskipun memainkan peranan yang amat kritikal dalam melindungi golongan rentan.
“Ketika saya melawat unit mereka bulan lalu, mereka hanya bergantung kepada empat komputer lama.
“Dengan sumber dan anggota yang terhad, mereka tetap cekal menangani jumlah kes yang semakin meningkat,” ujarnya.
Lebih menyayat hati, katanya, pegawai-pegawai dalam Unit D11 yang mana kebanyakannya adalah wanita yang juga bergelar ibu dan nenek.
Difahamkan, mereka perlu meneliti bukti-bukti melibatkan bayi seawal enam bulan, termasuk rakaman jenayah kejam yang turut dijual di laman gelap.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan menyalurkan peruntukan khusus kepada Unit D11 dalam Belanjawan Oktober akan datang, termasuk penambahan anggota, kelengkapan moden dan sokongan logistik.
Kata beliau lagi, hasil pemberian daripada pihak yang prihatin sebanyak 10 komputer baharu telah disumbangkan kepada unit tersebut, di samping pengubahsuaian sebuah bilik temubual kanak-kanak yang kini lebih mesra dan selamat untuk mangsa.
Namun ujar Izzah, usaha tersebut disifatkan masih belum mencukupi.
“Kes Allahyarhamah Zara dan serangan kejam terhadap anakanda Saudara Rafizi adalah isyarat jelas kepada kita semua. Jika kita gagal bertindak hari ini, lebih ramai anak-anak akan menjadi mangsa esok,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa setiap kanak-kanak di Malaysia berhak hidup dalam keadaan selamat tanpa ketakutan.
“Mereka adalah aset masa depan negara, dan keselamatan mereka tidak boleh dikompromi,” katanya.
Baca juga: