PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang dijadualkan pada Mei depan.
Keputusan itu dibuat dengan tujuan untuk meraikan bakat dalam parti sebagai sebahagian daripada usaha regenerasi PKR dan memperkukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya berharap anggota-anggota parti dapat memberikan saya peluang untuk menggalas bebanan selari dengan konsep fardu kifayah kerana sejak awal masa penubuhan parti saya masuk ke gelanggang (politik) pun berdasarkan mahu melunaskan konsep fardu kifayah.
“Maka saya berharap dalam pemilihan kali ini pertandingan dalam semangat kekeluargaan.
“… kita mahu agar berlangsungnya semangat kekitaan dalam satu usaha di mana bila kita dapat menyatukan hati-hati dan memastikan bakat yang terbaik dapat diberikan ruang dan peluang bukan sekadar untuk menjadi calon sebenarnya,” katanya memetik laporan media tempatan.
Izzah yang juga anak kepada Presiden PKR berkata demikian selepas majlis sumbangan Kasih Ramadan dan Moreh di Masjid Zaid bin Thabit, Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.
Beliau menyatakan harapannya agar anggota parti memberikan peluang kepadanya untuk terus menyumbang, selari dengan konsep fardu kifayah yang menjadi asas penglibatannya dalam politik sejak awal.
Nurul Izzah juga menekankan pentingnya semangat kekeluargaan dalam pertandingan itu dengan matlamat untuk menyatukan hati dan memberikan ruang kepada bakat terbaik.