Oleh: Tyah Helmi
NEW YORK: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar tersenarai dalam 30 individu berpengaruh dalam ‘Project Syndicate’s Forward Thinkers List’ tahun ini.
Projek yang diasaskan oleh pertubuhan media bukan berasaskan keuntungan itu memilih individu yang dianggap sebagai pemikir masa depan dari sudut akademik, pembuat dasar, sektor swasta dan masyarakat sivil.
Nurul Izzah yang juga anak sulung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut sebaris bersama Profesor Undang-Undang Kesatuan Eropah, HEC Paris yang menjadi penggerak utama dalam advokasi demokrasi dan reformasi dasar di Eropah.
Selain itu, Profesor Undang-Undang Universiti Irvine California, Mehrsa Baradaran; Profesor Ekonomi Politik, Universiti Harvard, Doktor Perubatan dan anggota TIME100, Alaa Murabit turut berada dalam senarai itu.

Difahamkan, peletakan Nurul Izzah dan figura lain ditentukan oleh Editor-editor kanan di Project Syndicate berdasarkan pengaruh, kebijaksanaan pemikiran dan potensi dalam membentuk wacana global pada masa hadapan.
Bukan itu sahaja, senarai itu turut ditentukan hasil daripada rangkaian penyumbang yang luas serta maklum balas pembaca mereka.
“Senarai Forward Thinkers terbitan Project Syndicate bertujuan mengiktiraf serta menonjolkan tokoh intelektual baharu yang bersifat inovatif.
“Ia menghimpunkan 30 individu berpengaruh dari pelbagai latar belakang seperti akademik, penggubal dasar, masyarakat sivil, dan sektor swasta. Mereka mengetengahkan pelbagai isu utama, termasuk perubahan iklim, geopolitik, masa depan kapitalisme serta kedudukan demokrasi,” kata organisasi media global itu.
Untuk rekod, projek berkenaan ditubuhkan pada awal 1990-an, Project Syndicate menyediakan serta mengedarkan ulasan dan analisis mengenai pelbagai isu antarabangsa.
Pada 2024, dilaporkan bahawa ulasan Project Syndicate telah diterbitkan sebanyak 16,904 di seluruh dunia.
Baca juga: