Nurul Izzah Teruskan Jelajah ‘Damai’, Temui Akar Umbi Selangor dan KL

PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar terus menggerakkan sesi Temu Rapat Akar Umbi bagi memperkukuh gerak kerja parti serta mendengar aspirasi anggota menjelang pemilihan.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau memaklumkan dua sesi seterusnya akan berlangsung di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menawarkan peluang kepada ahli parti untuk berinteraksi secara langsung.

“Dengan semangat kebersamaan, saya menjemput semua anggota untuk hadir bagi berkongsi aspirasi sebagai calon Timbalan Presiden PKR,” katanya.

Bagi sesi di Selangor, Nurul Izzah akan bersama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 14 Mei ini, pukul 8 malam di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.

Manakala sesi di Wilayah Persekutuan akan berlangsung pada 15 Mei, pukul 8 malam, bertempat di Andy’s Café, Kenanga International, Kuala Lumpur bersama Pengerusi MPN PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin.

Sesi Temu Rapat Akar Umbi menjadi platform bagi Nurul Izzah bertemu anggota parti di pelbagai peringkat, membincangkan hala tuju PKR dalam landskap politik semasa.

Sebelumnya, Perak menjadi destinasi pertama selepas beliau mengumumkan pencalonan sebagai Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025-2028.

Program di Ipoh pada 10 Mei lalu menyaksikan kehadiran lebih 1,000 anggota parti termasuk pimpinan wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Dalam ucapannya, Nurul Izzah menekankan pentingnya suara akar umbi dalam menentukan halatuju parti dan komitmennya untuk memperkasakan peranan wanita dalam kepimpinan politik.

Anda Mungkin Berminat