NUTP seru BNM tangani isu kenaikan premium insurans guru

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyeru Bank Negara Malaysia (BNM) supaya memperluaskan langkah kawalan sementara (interim measures) bagi membantu pelanggan insurans perubatan yang mengalami kenaikan premium mendadak.

Menurut NUTP, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada guru-guru yang melanggan insurans perubatan NUTP Takaful Healthcare.

Difahamkan, insurans itu bukan wajib tetapi menjadi pilihan ramai kerana lebih murah, namun pelanggan kini berdepan kenaikan premium yang tinggi dalam tempoh singkat.

“Kami menerima laporan bahawa premium insurans ini telah meningkat secara drastik dengan ada kes mencatatkan kenaikan sehingga 852 peratus dalam tempoh 12 tahun.

“Malah, ada pelanggan yang mengalami kenaikan 190 peratus hanya dalam setahun,” kata kenyataan yang dikeluarkan NUTP.

Berdasarkan aduan, katanya, insurans berkenaan telah beberapa kali bertukar pengendali sejak 2016, bermula dengan Great Eastern sebelum berpindah ke Etiqa Takaful dan seterusnya diuruskan oleh Prudential BSN Takaful (PruBSN) sejak 2024.

Kata NUTP, setiap kali pertukaran, premium dilaporkan meningkat dengan mendadak sehingga membebankan para pelanggan.

Dalam satu kes, seorang pelanggan mendapati premium tahunannya meningkat daripada RM840 pada 2013 kepada RM8,002 pada 2025.

Dalam kes lain, seorang lagi pelanggan terpaksa membayar RM12,138 bagi tahun 2024 berbanding RM4,149 pada tahun sebelumnya, peningkatan hampir tiga kali ganda.

NUTP menegaskan bahawa peningkatan kadar yang tidak terkawal ini memberi kesan kepada ribuan guru yang bergantung pada skim insurans tersebut.

“Ramai antara mereka kini menghadapi kesukaran untuk mengekalkan perlindungan perubatan kerana kenaikan mendadak ini.

“Kami berharap agar tindakan segera dapat diambil bagi memastikan sistem insurans perubatan lebih mampan dan adil kepada semua, khususnya kepada guru-guru yang telah lama menjadi pelanggan setia skim ini,” tambah kenyataan itu.

NUTP juga menegaskan akan terus memperjuangkan hak pelanggan dan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah itu.

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengumumkan beberapa langkah interim untuk menangani kenaikan premium insurans perubatan.

Langkah-langkah itu termasuk mengehadkan kenaikan premium tahunan kepada tidak lebih daripada 10 peratus dan memberikan penangguhan satu tahun bagi premium untuk pemegang polisi berusia 60 tahun ke atas.

BNM juga mengarahkan syarikat insurans untuk menyediakan pelan insurans yang lebih murah bagi mereka yang tidak mahu meneruskan polisi yang telah dinaikkan.

Anda Mungkin Berminat