KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan harapan agar hak dan kepentingan peneroka Felda lebih terbela susulan penyahsenaraian FGV Holdings Bhd daripada Bursa Malaysia yang bakal berkuat kuasa pada 28 Ogos ini.
Menurut Anwar, langkah itu memberi ruang kepada Felda dan Koperasi Permodalan Felda Bhd untuk menentukan hala tuju baharu syarikat tanpa kekangan pasaran terbuka, sekaligus mengembalikan tumpuan kepada matlamat asal penubuhannya.
“Kita boleh mula nyahsenarai mulai 28 Ogos ini. Maknanya Felda tidak terikat, Felda satu kekuatan bersama FGV boleh tentukan arah tuju mereka dan beri jaminan bahawa faedah dan kepentingan peneroka itu jadi keutamaan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Mega 3 Dimensi 2025 di MITEC, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan menetapkan hala tuju yang jelas kepada pengurusan Felda dan FGV, agar sebarang keuntungan dapat dimanfaatkan secara terus kepada golongan peneroka.
“Saya akan pastikan pengarahan yang jelas daripada kerajaan, iaitu pastikan FGV kembali kepada matlamat asal Felda, keutamaan kepada peneroka… hak mereka, hasil mereka dan koperasi yang mereka tentukan,” katanya lagi.
Langkah penyahsenaraian ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mahu GLC memberi impak lebih bermakna kepada pembangunan komuniti luar bandar.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Felda kini menguasai 92 peratus saham FGV, sekali gus membuka laluan kepada pemilikan penuh dan penstrukturan semula syarikat tersebut.
Pemilikan penuh itu dijangka dimuktamadkan oleh Bursa Malaysia dalam masa terdekat, dan hasil daripada keuntungan FGV kelak akan disalurkan semula kepada warga peneroka sebagai pemegang kepentingan utama.
Karnival Mega 3 Dimensi yang berlangsung dari 30 Julai hingga 3 Ogos itu menghimpunkan tiga acara utama Karnival Usahawan Desa (KKDW), Sambutan Hari Peneroka Felda (Felda) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (KUSKOP) di bawah tema Desaku Mendunia.
Baca juga: