OCPD Dang Wangi Diserang: ‘Keganasan Bukan Penyelesaian’ – AMK

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab yang mencederakan Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika menjalankan tugas di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam kenyataan media hari ini, AMK berkata, pihak polis hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang dan keputusan mahkamah dan sebarang serangan terhadap penjawat awam adalah tidak boleh diterima.

“Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang termaktub terhadap undang-undang, oleh itu setiap warga perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan mengelakkan sebarang tindakan yang bercanggah dengan peraturan negara,” katanya.

Omar Mokhtar berkata, hak berhimpun secara aman adalah dijamin, namun tidak boleh disalahgunakan untuk mencetuskan keganasan atau mencederakan mana-mana pihak, khususnya anggota keselamatan.

“Negara sememangnya menjamin hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman, namun hak tersebut tidak pernah memberi ruang untuk keganasan, provokasi atau mencederakan mana-mana pihak, apatah lagi anggota keselamatan yang menjaga ketenteraman,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang dan menggunakan saluran sah untuk menyatakan pendirian masing-masing.

Beliau juga mendesak agar siasatan segera dijalankan dan tindakan tegas diambil terhadap individu yang terlibat.

“AMK menegaskan bahawa budaya demokrasi yang matang hanya dapat dibina melalui perdebatan rasional, demonstrasi aman dan penghormatan terhadap penjawat awam yang menggalas tanggungjawab negara.

“Kami juga mendoakan agar ACP Sulizmie Affendy Sulaiman segera pulih daripada kecederaan yang dialami,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat