Oleh: Shafira Aziz
PARLIMEN: Kerajaan Malaysia kini giat memperhalusi penubuhan badan Ombudsman Malaysia, langkah strategik bagi menggantikan Biro Pengaduan Awam (BPA) untuk menangani isu salah tadbir dalam perkhidmatan awam dengan lebih berkesan.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kula Segaran, cadangan penubuhan itu telah mula dibincangkan sejak 2018.
“Cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia telah mula dibincangkan sejak 2018 dengan persetujuan prinsip oleh Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) ketika itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Reformasi Institusi pada April 2024 memutuskan untuk mengadakan sesi libat urus holistik bagi meneliti mekanisme penubuhan badan itu.
“Jemaah Menteri pada 12 Jun 2024 telah bersetuju supaya sesi libat urus holistik dilaksanakan selama tiga bulan bagi menentukan mekanisme dan pelaksanaan badan Ombudsman Malaysia,” katanya.
Kulasegaran berkata, sesi libat urus itu melibatkan pelbagai aspek seperti fungsi badan baharu, bidang kuasa untuk menangani aduan salah tadbir serta keperluan sumber manusia dan kewangan.
Katanya, ia juga melibatkan cadangan memperkasakan peranan Ombudsman Malaysia3 melalui pindaan terhadap Akta Pemberi Maklumat 2010.
Beliau berkata demikian untuk menjawab pertanyaan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) mengenai status penubuhan Ombudsman Malaysia.
Tambah beliau, setakat ini, sesi libat urus telah diadakan melibatkan zon utara dan Sabah, dengan zon lain seperti Sarawak, Timur, Selatan dan Tengah dijadualkan menyusul.
Proses ini dijangka dimuktamadkan menjelang suku pertama 2025.
Dengan kelulusan Jemaah Menteri, rang undang-undang baharu untuk menubuhkan badan Ombudsman Malaysia dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada 2025.