KUALA LUMPUR: Kerajaan mempergiat usaha membanteras penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di media sosial melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mana-mana platform media sosial yang gagal mengawal kandungan berunsur penipuan termasuk penggunaan teknologi ‘deepfake’ berasaskan kecerdasan buatan (AI), skim pelaburan palsu dan judi dalam talian boleh dikenakan denda antara RM1 juta hingga RM10 juta.
“ONSA terpakai kepada semua platform. Jika mereka terus membiarkan kandungan berunsur penipuan berleluasa, tindakan tegas termasuk denda besar boleh dikenakan.
“Kita beri sedikit masa untuk mereka memastikan pematuhan sepenuhnya,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan ‘regulatory sandbox’ atau medan ujian regulatori sedang dilaksanakan bagi meneliti mekanisme kawal selia yang sesuai termasuk penetapan had umur pengguna, supaya platform benar-benar memahami tanggungjawab mereka di bawah akta berkenaan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penyatuan Seni dan Budaya di KL Gateway Mall.
Pelaksanaan ONSA bukan sahaja bertujuan mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat, malah penting bagi mengekang penyebaran kandungan berbahaya yang boleh menjejaskan perkembangan mental kanak-kanak.
Dalam masa sama, orang ramai turut diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.
Kerajaan berharap kerjasama semua pihak termasuk penyedia platform dan pengguna dapat memastikan ruang digital negara kekal selamat serta bebas daripada kegiatan jenayah siber.








