PETALING JAYA: Enam individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri ditahan dalam siasatan skim penipuan pelaburan MBI International Group menerusi Op Northern Star, dengan aset bernilai lebih RM97.69 juta disita dan dibekukan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata tangkapan itu hasil operasi antara 26 Julai hingga 15 Ogos lalu selepas pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman memperoleh maklumat baharu daripada siasatan terdahulu.
“Selain Datuk Seri yang memiliki syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, turut ditahan dua Datuk dalam perniagaan telekomunikasi, seorang pemaju perumahan, serta dua lagi iaitu penjaga kebun dan akauntan kebun durian,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, pada Jumaat.
Antara aset disita ialah 88 akaun bank bernilai RM10.5 juta, 398 juta unit saham bernilai RM86.8 juta.
“Turut dirampas wang tunai RM300,600, tujuh kenderaan mewah, lima jam tangan mewah, dua beg tangan berjenama, enam telefon bimbit dan pelbagai dokumen berkaitan. ” katanya lagi.
Secara keseluruhan, jumlah pembekuan dan penyitaan sejak Op Northern Star dilaksanakan pada Mac lalu mencecah RM6.64 bilion, termasuk sembilan syarikat berasaskan hartanah, perladangan dan perhotelan. Turut disita ialah kebun durian seluas hampir 8,000 hektar di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Pada 30 Mei lalu, 17 individu termasuk usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri ditahan dalam operasi sama, dengan aset dirampas ketika itu bernilai RM3.81 bilion.
Baca juga: