Op Tirai Biru Perkukuh Keselamatan Perairan Melaka, Tiga Individu Ditahan

PETALING JAYA: Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan melaksanakan Op Tirai Biru selama dua hari bermula 24 November bagi memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan di perairan Melaka ketika Monsun Timur Laut melanda.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata operasi bersepadu julung kali itu memberi tumpuan kepada pemantauan aktiviti mencurigakan di laut dan pesisir pantai berdasarkan SOP COMSEC ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, operasi turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Briged Pertama Infantri Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Satu taklimat penyelarasan disampaikan Timbalan Pengarah Operasi, Komander Maritim Norrimi Hassan turut diadakan di Ibu Pejabat Maritim Negeri semalam bagi merangka strategi rondaan hari kedua, termasuk pengukuhan perkongsian maklumat dan penetapan peranan setiap agensi.

Secara keseluruhan, seramai 28 pegawai dan 73 anggota digerakkan dengan kekuatan 11 aset darat dan lima aset laut sepanjang operasi dijalankan.

Sebanyak 22 pemeriksaan dilaksanakan melibatkan vesel, kenderaan dan premis di pesisir pantai, manakala 153 individu diperiksa terdiri daripada 56 warganegara dan 97 warga asing dari tujuh negara.

Daripada jumlah itu, tiga individu ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Op Tirai Biru dijangka diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan perairan serta kedaulatan negara berada pada tahap optimum.

Op Tirai Biru merupakan inisiatif keselamatan bersepadu antara agensi maritim dan penguatkuasaan bagi meningkatkan kawalan perairan Melaka, terutama ketika musim monsun yang berisiko tinggi terhadap jenayah rentas sempadan serta aktiviti maritim tidak berlesen.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat