SELAYANG: Seramai 843 disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 35 wanita ditahan hasil pemeriksaan 1,116 individu dalam satu operasi besar-besaran dekat sini malam tadi.
Bertempat di Selayang Baru iaitu lokasi panas, operasi bermula jam 8 malam itu diketuai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan diselaraskan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor.
Ia juga mendapat kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta pihak berkuasa tempatan.
Pecahan yang ditahan ialah 647 warga Myanmar, Nepal (102), Bangladesh (79), Indonesia (15 ) serta India (10).
Amirudin berkata serbuan dijalankan susulan aduan awam yang resah dengan lambakan warga asing serta aktiviti perniagaan tanpa lesen di kawasan berkenaan.
“Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 53 tahun disyaki melakukan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa serta pemegang kad yang tidak diiktiraf,” katanya, memetik Sinar Harian pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli; Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dan Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin.
Jelasnya, operasi itu merupakan ingatan tegas kepada semua, termasuk warga tempatan yang menggajikan PATI supaya mematuhi undang-undang.








