Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan bahawa perkhidmatan tren KTM Intercity di laluan Pantai Timur terjejas akibat banjir dan tanah mendap.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, pemakluman mengenai penutupan laluan serta maklumat terkini akan disalurkan secara berterusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan media sosial rasmi KTMB.
“Setakat hari ini, kawasan yang dikenal pasti tidak selamat untuk perkhidmatan kereta api akibat paras air melebihi tahap rel adalah di KM493 hingga KM490.85 antara Pasir Mas dan Tanah Merah.
“Perkhidmatan tren yang turut terjejas termasuk Ekspres Rakyat Timuran No 26 dan No 27, serta Shuttle Timuran laluan Kuala Lipis-Gua Musang-Tumpat, yang terpaksa dibatalkan demi keselamatan penumpang,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan KTM Intercity untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan tren Ekspres Rakyat Timuran No 27 bagi laluan JB Sentral ke Tumpat juga dibatalkan mulai malam tadi.
Bagi penumpang yang terkesan dan tidak meneruskan perjalanan, KTMB akan memberikan pemulangan tambang penuh.
Dalam kenyataan sama, sebagai langkah responsif, KTMB mengaktifkan bilik gerakan banjir serta-merta di sektor Pantai Timur untuk memantau pergerakan tren serta memberikan kemas kini situasi.
“Langkah persediaan KTMB bukan sahaja tertumpu kepada operasi pergerakan tren ketika banjir, tetapi turut membabitkan pelan bantuan kepada mangsa banjir di stesen KTMB,” tambahnya.
Selain itu, Mohd Zain berkata, KTMB turut menjalankan pemantauan risiko banjir dengan merujuk laporan harian daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dengan keutamaan diberikan kepada lokasi-lokasi yang kerap terjejas akibat banjir.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200, layari laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my atau mengikuti saluran media sosial rasmi KTMB untuk informasi terkini.
Baca juga: