Operasi Mencari 30 Mangsa Feri Karam Ditangguh Akibat Cuaca Buruk

BALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi 30 mangsa hilang susulan insiden feri karam berhampiran pantai Bali pada malam Rabu ditangguhkan sementara waktu, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa Indonesia.

Tragedi membabitkan feri KMP Tunu Pratama Jaya yang membawa 65 individu termasuk 53 penumpang dan 12 anak kapal, berlaku kira-kira 30 minit selepas feri berlepas dari Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, menuju ke Pelabuhan Gilimanuk di Bali.

Sehingga kini, enam kematian telah disahkan termasuk seorang wanita dan anaknya yang berusia tiga tahun, manakala 30 lagi masih belum ditemui.

Operasi malam Khamis terpaksa dihentikan akibat cuaca buruk dan jarak penglihatan yang terhad.

“Operasi akan disambung semula pada pagi Jumaat dengan bantuan lebih 160 anggota penyelamat melibatkan pasukan polis dan tentera,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional, Mohammad Syafii.

Menurut saksi dan mangsa yang terselamat, feri mula senget selepas dilambung ombak besar sebelum karam hanya dalam masa lima minit.

Pergerakan kenderaan berat atas feri dipercayai menyebabkan ketidakseimbangan.

Penumpang dilaporkan terjun ke laut dalam keadaan cemas dan sebahagian mereka terapung selama berjam-jam sebelum berjaya diselamatkan pasukan SAR.

Feri tersebut membawa 22 kenderaan termasuk 14 trak dan kini dipercayai telah tenggelam sepenuhnya.

Pasukan penyelamat kini memberi tumpuan kepada pencarian di permukaan laut, namun tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa yang masih terperangkap di dalam feri.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang berada di Arab Saudi, telah mengarahkan tindak balas kecemasan segera.

Siasatan terhadap punca kejadian sedang dijalankan dengan kebakaran enjin dan cuaca buruk antara faktor yang sedang diteliti.

Anda Mungkin Berminat