Operasi mencari tiga lagi nelayan hilang diteruskan

KUCHING: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan mangsa Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang dipercayai karam di perairan Pulau Burong, di sini, Sarawak, sejak semalam diteruskan untuk hari kedua.

Operasi yang dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Sarawak bermula pukul 7.00 pagi tadi dengan mengatur gerak aset Maritim Malaysia Bot Pengawal 42, dibantu oleh bot PSC 34 dan PA 1 milik Pasukan Polis Marin (PPM), pesawat CESSNA CARAVAN Pasukan Gerakan Udara (PGU), bot Destiny milik Angkatan Pertahanan Awam (APM), SC Sari dari Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Bot SRB 11 milik Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh berkata, dua mangsa, Oeun Van, 37, dan Thy Ny, 41, masing-masing warga Kemboja telah dijumpai oleh nelayan tempatan.

“Oeun Van ditemui di kawasan Sungai Serpan Laut, Asajaya dan dibawa ke Klinik Kesihatan Asajaya untuk rawatan lanjut, manakala Thy Ny ditemui oleh Vesel Tug Boat (Tunda) Barami 21 di kedudukan 3.87 Batu Nautika Barat Tanjung Po dan dibawa ke Jeti Sibu.

“Operasi hari ini diperluaskan meliputi 451.02 batu nautika persegi, tertumpu di kawasan perairan Pulau Burong. Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) ditubuhkan di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak dan pencarian mangsa terakhir sedang dijalankan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Kamal, keadaan cuaca di lokasi mendung dan berkabus dengan kelajuan angin sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam dan ombak setinggi 1.0 hingga 1.5 meter.

Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai agar memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan aktiviti di laut dengan membawa Personal Locator Beacon (PLB) atau Emergency Position Indicator Radio Beacon (EPIRB) dan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak/MRSC Kuching melalui talian 082-432006 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

Anda Mungkin Berminat