Operasi ‘Op Samseng Jalanan’ Tumpas Aktiviti Lumba Haram Di Kluang

KLUANG: Polis Daerah Kluang menumpaskan kegiatan lumba haram dalam operasi khas dinamakan Op Samseng Jalanan yang dijalankan pada 6 Jun di KM57, Jalan Batu Pahat–Mersing, kawasan Bukit Ayam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh, operasi yang dikendalikan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kluang itu memeriksa 16 individu bersama 13 buah motosikal.

Sebanyak 13 keping saman PDRM (K)257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

“Seramai enam orang lelaki warga tempatan berumur antara 17 hingga 27 tahun ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti lumba haram,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Hasil ujian air kencing yang dijalankan oleh Bahagian Narkotik IPD Kluang mendapati dua daripada enam suspek positif dadah jenis ganja.

“Kedua-dua mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah Bahrin, semua tangkapan akan dipohon tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut.

Katanya, operasi seumpama itu akan dijalankan secara berkala bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.

“Ibu bapa dinasihatkan untuk memantau pergerakan anak-anak mereka khususnya pada waktu malam supaya tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti lumba haram boleh menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 atau 014-365682.

Anda Mungkin Berminat