PETALING JAYA: Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dijalankan di Perlis dan Kedah pada 7 April lalu berjaya meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan yang sebelum ini terjejas akibat cuaca kering.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kementerian melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi memastikan bekalan air kekal mencukupi.
Menurut beliau, operasi memberi tumpuan kepada Empangan Timah Tasoh di Perlis, manakala di Kedah melibatkan Empangan Muda, Pedu dan Ahning.
“OPA dilaksanakan menggunakan pesawat C130-Hercules dengan kaedah semburan larutan garam ke dalam awan kumulus menara, sekali gus berjaya menghasilkan hujan berikutan keadaan atmosfera yang kondusif serta kelembapan tinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Berdasarkan cerapan stesen dan sistem MyRAE MET Malaysia, taburan hujan di Perlis direkodkan antara 10 milimeter (mm) hingga 45 mm dari pukul 7 petang hingga 8 malam.
Sementara itu katanya, di Kedah, jumlah hujan direkodkan antara 6 mm hingga 57.4 mm bermula pukul 7 malam hingga 10 malam.
Arthur berkata, peningkatan taburan hujan ini membantu mengurangkan kesan cuaca kering terhadap bekalan air serta sektor pertanian di kawasan terlibat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MET Malaysia serta semua pihak yang menjayakan operasi berkenaan.
“NRES akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa bagi memastikan kelestarian sumber asli sentiasa terpelihara,” ujarnya.








