Operasi Roboh Struktur Haram Tapak Masjid Dengkil Lancar

SEPANG: Struktur haram yang didirikan di atas tanah yang diwartakan sebagai tapak Masjid Dengkil di sini dirobohkan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang, semalam.

Operasi itu turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang).

Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim berkata operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Tindakan perobohan dibuat mengikut prosedur selepas notis pengosongan dikeluarkan kepada pihak terbabit lebih awal,” katanya.

Pada April lalu, JAIS mengeluarkan arahan supaya kawasan berkenaan dikosongkan dalam tempoh 30 hari, selaras dengan status tanah seluas empat hektar yang telah digazetkan sebagai tapak masjid sejak 2012.

Difahamkan, pembinaan masjid baharu itu juga sudah dimasukkan dalam perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sementara itu, Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani menyambut baik tindakan tegas pihak berkuasa terhadap struktur haram di kawasan terbabit.

“Penduduk berharap kerja-kerja pembinaan masjid dapat dimulakan secepat mungkin demi kemudahan penduduk sekitar,” katanya, dipetik.

Sebelum ini, penduduk setempat pernah menggesa agar kawasan itu dipagar segera untuk mengelakkan pencerobohan dan penyalahgunaan tapak masjid berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat