OPR kekal 3 peratus petunjuk ekonomi Malaysia kukuh – Pakar

PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus memberi isyarat bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan yang stabil, dan tiada keperluan untuk pengurangan kadar buat masa ini bagi merangsang pertumbuhan ekonomi melalui dasar monetari.

Penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kestabilan ekonomi Malaysia disokong oleh kadar OPR semasa serta beberapa penunjuk ekonomi lain yang positif.

“Data seperti kadar inflasi yang terkawal pada 1.5 peratus, eksport negara yang menunjukkan peningkatan ketara, serta kadar pengangguran yang lebih rendah berbanding tahun 2019 (sebelum pandemik COVID-19) membuktikan ekonomi kita berada pada landasan yang kukuh,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Federal Reserve) mengekalkan kadar faedah pada 4.25 hingga 4.5 peratus juga menjadi salah satu faktor yang mendorong Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengekalkan OPR pada paras semasa.

“Perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan Amerika Syarikat dikekalkan bagi memastikan aliran masuk pelaburan asing, khususnya dalam pasaran ekuiti dan bon kerajaan Malaysia, terus menarik minat pelabur,” jelas beliau.

Namun begitu, Aimi Zulhazmi turut memberi peringatan bahawa ekonomi negara kini berada dalam fasa berhati-hati.

Katanya, walaupun data semasa adalah memberangsangkan, kepekaan terhadap faktor luaran tetap penting dalam membuat keputusan dasar monetari.

“MPC sentiasa memantau pelbagai faktor global yang boleh mempengaruhi ekonomi negara, termasuk krisis geopolitik, dasar tarif balas Amerika Syarikat, serta perubahan kadar faedah oleh Federal Reserve,” katanya.

Tambah beliau, hasil rundingan tarif dengan Amerika Syarikat yang dijangka diketahui dalam tempoh 60 hari akan datang akan memberi petunjuk sama ada sektor industri dan eksport Malaysia terjejas atau tidak.

“Oleh itu, data-data semasa ini amat penting bagi membantu BNM membuat keputusan sama ada OPR perlu dikurangkan atau dinaikkan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, ketepatan unjuran ini penting bagi memastikan dasar monetari negara sejajar dengan dasar fiskal kerajaan dalam usaha memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang secara mampan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat