Ops Campur: 48 kertas siasatan dibuka, 300 kampit beras dirampas

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Campur pada Selasa untuk membanteras isu beras campur.

Setakat ini, dilaporkan sebanyak 48 kertas siasatan dibuka terhadap premis yang diperiksa dengan 300 kampit sampel beras dirampas dari 213 premis pengilang dan pembungkus di seluruh negara.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada percampuran kandungan beras tetapi juga memeriksa peratusan beras yang hancur kerana ia mempengaruhi harga.

“Sampel yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk dianalisis,” katanya pada sidang media Pelaksanaan Penguatkuasaan Op Campur di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, nilai rampasan beras dianggarkan berjumlah RM15,321.40.

Menurutnya, sebanyak 2,000 premis pembungkus dan pengilang dijangka akan diperiksa untuk membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha memperbaiki industri padi dan beras negara.

Dalam laporan media pada 26 Februari lalu, Pegawai Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI mendedahkan bahawa sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT) melalui kajian DNA sepanjang tahun 2023 dan 2024.

Anda Mungkin Berminat