OPS Dadu Mega: 85 Individu Termasuk 38 Warga Asing Ditahan Terlibat Judi Haram Dalam Talian

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Seramai 85 individu termasuk 38 warga asing ditahan selepas didapati terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian secara haram menerusi Operasi Dadu Mega yang dijalankan serentak di seluruh negara dari 20 hingga 23 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), bersama Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen.

Menurutnya, fokus utama operasi ialah menumpaskan pusat panggilan yang mengurus dan mempromosikan laman web perjudian haram.

M Kumar berkata, sebanyak 21 premis diperiksa sepanjang operasi dengan 20 daripadanya dikenal pasti dijadikan pusat panggilan untuk aktiviti perjudian.

“Laman sesawang atas talian yang menjalankan perjudian itu menyasarkan pelanggan tempatan dan luar negara seperti Filipina, China dan Australia.

“Satu premis dijadikan pusat panggilan untuk aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan pelanggan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, serbuan mega itu turut berjaya merampas pelbagai peralatan termasuk komputer, tablet dan telefon bimbit yang digunakan untuk mengendalikan operasi perjudian.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(g) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Untuk rekod, pihaknya sudah menyerbu 117 premis yang dijadikan sebagai pusat panggilan untuk aktiviti perjudian serta berjaya menahan 713 individu,” katanya.

Anda Mungkin Berminat