PETALING JAYA: Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan kesahihan dan kesucian al-Quran terjaga melalui pelaksanaan Ops Mulia.
Program itu bukan sahaja menegakkan kepatuhan kepada Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 tetapi juga melupuskan naskhah al-Quran yang rosak atau tidak sah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu hantaran di Facebook memuji pencapaian luar biasa Ops Mulia pada tahun 2024.
“Sebanyak 822 premis telah diperiksa dengan sitaan bernilai RM2.7 juta.
“Operasi ini juga berjaya menyita 8,212 naskhah al-Quran dan 11,694 bahan al-Quran serta membuka 160 kertas siasatan,” katanya.

Menurut beliau, pada tahun ini (sehingga kini), sebanyak 794 premis diperiksa dengan nilai sitaan berjumlah RM502,737.
Tambahnya, program Ops Mulia turut disertai inisiatif Pemuliaan al-Quran untuk melupuskan naskhah yang tidak layak digunakan lagi.
Saifuddin menyeru masyarakat agar membeli naskhah al-Quran dengan perakuan KDN bagi memastikan kesucian kitab suci ini terpelihara.
Dalam majlis anjuran Masjid Al-Islah, Kampung Permatang Kerat Telunjuk, beliau juga menyampaikan sumbangan al-Quran kepada 18 buah masjid sekitar Bandar Baharu.