Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Lima remaja lelaki warga tempatan ditahan kerana melakukan aksi berbahaya di jalan raya di sekitar Bandaraya Johor Bahru awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata, penahanan remaja berusia 16 hingga 19 tahun itu dilakukan dalam operasi khas bagi membanteras aktiviti samseng jalanan dan lumba haram di tiga lokasi hotspot.
Katanya, mereka yang ditahan telah melakukan aksi berbahaya yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna lain.
“Operasi tersebut dijalankan pada jam 12.30 pagi hingga 5 pagi dan diketuai oleh Pegawai Penguatkuasaan Trafik, Inspektor Amir Haikal dengan melibatkan seramai lapan anggota.
“Sepanjang operasi berlangsung, lima buah motosikal telah disita untuk pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Lapan keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan ubahsuai struktur kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Raub, jika sabit kesalahan, membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM15,000 dan penjara wajib satu hari hingga lima tahun.
Katanya lagi, pihak polis akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas di lokasi-lokasi yang dikenalpasti sebagai hotspot untuk aktiviti ini.
Baca juga: