Orang Asia ada konteks tinggi dalam komunikasi

Oleh: Dr Zamir Mohyedin

ULASAN | Anda pernah dengar tak orang Melayu kalau bercakap, mereka suka berkias. Mengikut kajian yang dibuat oleh Erin Meyer (Penulis dan Profesor Amerika Syarikat), bukan orang Melayu sahaja, namun masyarakat Asia rata-ratanya seperti itu termasuklah China, Jepun, Korea dan lain-lain.

Apabila berkomunikasi, masyarakat negara Asia tidak membudayakan cakap secara terus (direct). Kalau kita tak suka dengan orang tertentu, kita tak tunjuk depan-depan, kita tunjuk halus-halus. Cakap pun berkias. Tapi menariknya, kita faham sesama sendiri mesej disebalik kelakuan halus dan berkias ini.

Bak kata orang Jepun, hang bukan pendengar yang baik dan tidak mempunyai komunikasi yang bagus kalau hang “cannot read the air” (kuuki yomenai).

Kita suka, tak suka, marah, benci, tak setuju dan sebagainya tetapi masyarakat Asia akan cakap atau tunjuk secara tersirat (implicit). Sedar ataupun tidak, kita dibesarkan dengan budaya sebegitu. “Dia tak suka akulah tu. Tengok muka tahu dah”.

Dalam bukunya, “Cultural Map”, Erin Meyer berkongsi mengenai seorang pengurus dari Eropah yang tak dapat tangkap mesej pekerjanya di China.

Pengurus itu minta salah seorang pekerjanya jumpa klien pada Hari Ahad. Dia tanyalah pekerja itu boleh datang ke tidak. Pekerja China itu cakaplah, “Mungkin. Hari Ahad itu hari jadi anak saya.”

Tahu tak apa pengurus itu jawab? Dia ucapkan tahniah pada pekerjanya dan dia ingat pekerjanya boleh datang pada hari Ahad. 

Kalau kita (sebagai orang Asia) baca mesej daripada pekerja China itu, kita boleh faham dia tak dapat nak datang sebab nak sambut hari jadi anaknya tapi dia tak cakap secara terus “tak boleh datang”.

Benda ini nampak macam, pembaris betul orang putih benda macam itu pun tak faham. Tapi situasi itu real sebab orang putih, lebih-lebih lagi Amerika tak berbudaya cakap berkias dan halus. Mereka lebih faham kalau komunikasi itu cakap secara terus.

Hang tak suka dia? Cakap depan-depan hang tak suka. Bagi arahan pun kena jelas terperinci.

Kalau hang buat lawak kasar pada orang Amerika, depa akan ambil serius selagi mana hang tak beritahu benda itu hanya lawak – “It is a joke”. 

Kalau budaya kita beritahu benda itu hanya lawak, benda lawak dah jadi tak lawak. Lawak hanya berlaku kalau kita tak beritahu.

Masyarakat Asia ini diketegorikan sebagai negara berkonteks tinggi dalam komunikasi. Masyarakat Eropah dan Amerika pula dikategorikan negara berkonteks rendah.

Benda ini berkait dengan bahasa juga sehinggakan satu perkataan masyarakat Asia boleh membawa pelbagai maksud mengikut konteks, bentuk, cara bercakap dan lain-lain.

***Penulis adalah saintis dan juga penulis buku-buku berkaitan angkasa, kosmologi, alam semesta, bintang, planet, lohong hitam, jasad-jasad samawi dan pengembaraan masa

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat