PETALING JAYA: Tindakan orang awam yang tidak bertauliah menceroboh dan mencemari sidang media inkues kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan wartawan serta menjejaskan kualiti laporan profesional.
Majlis Media Malaysia (MMM) dalam satu kenyataan berkata, wartawan perlu diberi ruang untuk menjalankan tugas dengan selamat dan tanpa gangguan.
“Majlis Media Malaysia (MMM) memandang serius perkembangan terkini berkaitan liputan kes Zara Qairina.
“Memandangkan kes ini melibatkan seorang kanak-kanak, media mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan laporan adalah tepat, beretika dan penuh kepekaan.
“Kami juga bimbang dengan laporan daripada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) semasa sidang media inkues kes Zara Qairina baru-baru ini.
“Wartawan mesti dapat menjalankan tugas dengan selamat dan tanpa gangguan,” katanya.
MMM turut mengingatkan bahawa kanak-kanak tidak boleh dijadikan bahan liputan secara sensasi, soal siasat melampau atau pendedahan yang boleh membawa kepada trauma dan risiko tambahan.
“Dalam kes buli serta inkues yang melibatkan individu bawah umur, maruah, privasi dan keselamatan kanak-kanak mesti sentiasa diutamakan.
“Selaras dengan hak mereka untuk mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611),” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, MMM menggesa semua pengarang dan wartawan agar memahami sepenuhnya kod etika kewartawanan serta prinsip perlindungan kanak-kanak.
Menurutnya, ini termasuk tidak menyiarkan butiran yang boleh mengenal pasti atau memberi stigma kepada mangsa dan keluarga.
“Laporan yang bertanggungjawab harus menekankan aspek keadilan dan kepentingan awam, bukan eksploitasi atau keuntungan,” tambahnya.
MMM turut menyeru agar semua media bersikap berlapang dada, berdisiplin dan profesional dalam melaporkan kes ini, sambil menegaskan bahawa kewartawanan beretika adalah satu-satunya jalan untuk melindungi golongan rentan dan menjaga integriti profesion.








